Wednesday, July 30, 2008

Pergabungan Dan Kerjasama Politik PAS-Umno: Suatu Pandangan

Sebagai seorang peguam, saya melihat ura-ura pergabungan atau kerjasama PAS-Umno dari sudut undang-undang.

Ada orang mengibaratkan cadangan kerjasama PAS-Umno sebagai perkahwinan politik (political marriage). Tetapi saya ingin mengibaratkan kerjasama atau pergabungan PAS-Umno sebagai ‘gabungan dan pengambil-alihan politik’ (political merger and take-over).

Merger and take-over (MTO) adalah suatu istilah yang sinonim dalam dunia korporat.

Dimana, mana-mana syarikat ingin lebih kompetetif dan mengelak persaingan bergabung dengan terma dan syarat yang dipersetujui oleh pemegang saham.

Pemegang saham dalam kontek parti politik Umno dan PAS adalah ahli-ahli mereka.

Manakala arkitek yang menerajui pergabungan atau kerjasama adalah Presiden atau ahli Majlis Tertinggi bagi Umno atau AJK PAS Pusat atau Presiden atau Mursyid Am bagi PAS atau mana-mana agen atau proksi yang diberi mandat.

Dalam kes cakap-cakap untuk pergabungan atau kerjasama baru-baru ini Majlis Syura PAS memberi mandat kepada Dato’ Mustafa Ali , Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ir Khalid Samad. Manakala di pihak Umno Khir Toyo bagi peringkat negeri Selangor, seperti yang dilaporkan.

Biasanya dalam MTO korporat isu-isu yang dibincangkan adalah keuntungan kepada pemegang-pemegang saham serta posisi arkitek-arkitek pergabungan atau kerjasama pasca-pergabungan atau kerjasama.

Siapa yang menerajui entiti baru pasca-pergabungan dan siapa pula yang perlu distruktur semula kedudukan dalam entiti politik baru.

Ketekunan wajar (Due Diligence ) harus juga dibuat. Dalam kontek parti politik oleh golongan pemikir parti (think thank).

Dari sudut persamaan antara PAS-Umno ialah “Islam” dan “bangsa”. Setakat ini PAS mensyaratkan ahli mereka mestilah Islam. (Lewat kini, ada ura-ura untuk membenarkan keahlian bukan Islam dalam PAS).

Manakala Umno mensyaratkan ahli merekan adalah Melayu.

Melayu menurut perlembagaan Malaysia adalah Islam. Di sinilah titik persamaan antara PAS dan Umno.

Ada pakar-pakar pergabungan syarikat yang berpandangan syarikat yang kecil lebih kompetetif berbanding syarikat gergasi (melalui MTO) kerana bagi mereka syarikat kecil adalah ‘lean and mean’.

Mengikut teori dinousaur binatang ini pupus kerana tidak dapat menyesuai dengan perubahan iklim, antaranya kerana saiz mereka yang besar.

Ibarat ini jugalah terhadap MTO parti politik. Maka adalah lebih baik hanya bekerjasama dengan Umno.

PAS memang dilihat sebagai parti pasak (axis party) yang boleh mempengaruhi sesiapa untuk berkuasa dan memerintah seperti kes negeri Selangor dan Peras pasca-pilihanraya ke-12 baru-baru ini.

Semua ini pernah terjadi di Indonesia di mana parti PPP dan beberapa serpihan parti Islam menjadi parti pasak untuk mereka yang ingin berkuasa dan memerintah di Indonesia beberapa tahun dahulu.

Arkitek-arkitek pergabungan atau kerjasama seperti yang telah dikatakan di atas haruslah bertangunggjawab jika pergabungan atau kerjasama gagal. Lebih parah lagi jika PAS menjadi lebih lemah dari sebelum bergabung atau bekerjasama.

Ini pernah berlaku pada tahun 1970-an dahulu di era Dato’ Asri Muda. Inilah yang telah awal-awal dikatakan oleh Mursyid Am Pas bahawa beliau tidak ingin bertanggungjawab terhadap MTO PAS-Umno.

Saya lebih cenderung untuk berpendapat bahawa daripada PAS dan Umno dibubarkan dan menubuh entiti politik baru adalah lebih baik parti PAS dikekalkan dan hanya mewujudkan kerjasama.